GEORGE TOWN – Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 49 rakyat asing dalam serbuan berasingan di Batu Maung dan Persiaran Paya Terubong, di sini awal hari ini.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri Abdul Rahman Hassan berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 29 lelaki, 16 wanita serta empat kanak-kanak dari Bangladesh, Myanmar, Nepal, Vietnam, Filipina dan India.
“Ops Sapu dari pukul 10 malam hingga 1.40 pagi itu telah memeriksa sejumlah 232 warga asing yang tinggal di rumah kongsi sekitar kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata kebanyakan mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah selain tinggal melebihi tempoh ditetapkan dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Dalam pada itu, beliau berkata seorang daripada anggotanya mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki kiri akibat terjatuh semasa mengejar seorang daripada warga asing terbabit.
Bagaimanapun, katanya keadaan anggota itu dilapor stabil selepas menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Abdul Rahman berkata rakyat asing berusia antara lapan tahun dan 40-an itu dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Juru untuk tindakan lanjut. – BERNAMA