ÂÂ
WASHINGTON DC – Sebuah pesawat komersial tempatan terpaksa menundakan penerbangan hampir sejam gara-gara seorang penumpang wanita disengat seekor kala jengking beberapa saat sebelum berlepas, lapor media Amerika Syarikat.
Kejadian dilaporkan berlaku apabila pesawat Alaska Airlines AS567 dalam perjalanan dari Los Angeles, California ke Portland, Oregon sejauh 1,500 kilometer bersiap sedia untuk berlepas menuju landasan sebelum mangsa menjerit tangannya disengat.
Jurucakap syarikat yang ditubuhkan sejak 1944 itu berkata, kes berlaku kira-kira pukul 7.50 malam waktu tempatan pada Sabtu apabila pesawat Boeing 737-900 hendak bertolak dan mujur beberapa pramugari berjaya membunuh kala jengking tersebut.
Pesawat bergegas untuk patah balik ke terminal Gate 65B manakala penumpang yang tidak didedahkan identitinya itu kemudian segera diperiksa anggota pasukan perubatan kecemasan, namun mangsa enggan menaiki semula kapal terbang berkenaan.
“Pramugari turut memeriksa seluruh tempat simpanan bagasi di atas kepala penumpang untuk mencari jika ada lagi kala jengking yang bersembunyi dan setelah disahkan selamat, pesawat meneruskan kembali perjalanan,†kata jurucakap Alaska Airlines.
Penerbangan disambung semula 8.40 malam Sabtu (bersamaan 12.40 tengah hari Ahad waktu Malaysia) dan selamat tiba di Portland kira-kira pukul 10.41 malam (atau 2.41 petang Ahad waktu Malaysia) hampir sejam lewat daripada jadual asal.
Dilaporkan sekumpulan pemain pasukan bola keranjang Universiti Oregon State kebetulan turut berada dalam pesawat ketika insiden berlaku dan mereka pula dalam perjalanan balik semula ke kampus selepas berakhir beberapa perlawanan di California.
Pihak Alaska Airlines masih belum jelas bagaimana kala jengking berkenaan boleh berada tiba-tiba dalam pesawat, tetapi tidak menolak kemungkinan ia tersesat masuk ketika kapal terbang tersebut pernah mendarat di Los Cabos, Mexico sebelum itu. – Agensi