KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberi jaminan pasukan The Red Warriors (TRW) akan menjadi antara pasukan terhebat Liga Malaysia musim ini.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pasukan Kelantan akan menjadi satu-satunya pasukan yang bakal menyaingi kehebatan Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT).
“TRW mungkin memulakan kempen musim 2015 agak lesu akibat pelbagai halangan namun saya percaya kita (Kelantan) perlahan-lahan berupaya menjadi pencabar utama kejuaraan liga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Prestasi TRW dalam Liga Malaysia musim lalu agak mengecewakan kerana gagal merakul sebarang kejuaraan selepas beberapa tahun mendominasi kancah bola sepak negara.
Sehubungan itu, KAFA melakukan pelbagai perubahan ke atas pasukan Kelantan termasuk membuat pelaburan besar bagi membawa masuk beberapa pemain import berkaliber tahun ini.
Liga Malaysia 2015 yang baru bermula pula menyaksikan pasukan JDT mengorak langkah kanan apabila berjaya merampas Piala Sumbangsih daripada Pahang.
JDT menumpaskan pasukan Pahang 2-0 dalam satu perlawanan menarik di Stadium Larkin baru-baru ini.