KESEMUA akhbar utama negara memberi penghormatan kepada Mursyidul Am Pas dan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan memaparkan berita kematian Allahyarham di halaman muka hadapan, hari ini.
Akhbar-akhbar arus perdana itu juga mencetak berita terbabit dalam warna hitam putih sebagai tanda berkabung atas kematian tokoh politik dan ilmuwan agama tersebut.
Nik Aziz, 84, meninggal dunia di kediamannya semalam di Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada jam 9.40 malam.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya kira-kira pukul 8.30 malam dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dalam keadaan alat bantuan pernafasan sudah dikeluarkan.
Allahyarham dirawat di hospital sejak 19 Januari lalu kerana kanser prostat dan keadaan kesihatannya dilaporkan kian merosot sejak Disember tahun lepas. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: JULIANA JOHAR
Kredit Foto: Twitter Helmi Hanafi