PUTRAJAYA – Jerayawara Anugerah Akademik Negara (AAN) digerakkan mulai tahun ini mengikut zon bagi memberikan penerangan lebih jelas kepada ahli akademik yang berminat dan berpotensi untuk dicalonkan bagi anugerah itu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan Datuk Nasir Mat Dam berkata 12 siri taklimat akan diadakan di seluruh negara untuk tahun ini.
“Masih ramai pensyarah di luar sana yang tidak mendapat pendedahan sewajarnya serta merasa ragu-ragu untuk turut serta dalam pencalonan AAN.
“Ini merupakan satu kerugian kepada individu terbabit dan juga kepada IPT berkenaan,” katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Jerayawara AAN kesembilan di Kementerian Pendidikan di sini Rabu.
Nasir, yang mewakili Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, berkata permohonan atau pencalonan untuk AAN kesembilan mula dibuka pada 1 Feb 2015 (Ahad) manakala tarikh tutup pula pada 30 April 2015 (Khamis).
Tujuh kategori anugerah yang dibuka untuk permohonan dan pencalonan iaitu Anugerah Tokoh Akademik Negara, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, Anugerah Seni dan Kreativiti, Anugerah Pengajaran dan Anugerah Ahli Akademik Harapan, katanya.
Pencalonan dan permohonan untuk semua kategori anugerah dibuka kepada semua universiti awam dan swasta, kolej universiti, politeknik, kolej komuniti dan institut pendidikan guru.
AAN mengiktiraf ahli-ahli akademik negara yang mencapai prestasi cemerlang dalam bidang akademik, penyelidikan dan penulisan. Majlis AAN kesembilan bakal diadakan September ini.
Bagi Anugerah Tokoh Akademik Negara, ia berdasarkan pencalonan oleh IPT. Pencalonan yang berjaya untuk Anugerah Tokoh Akademik Negara akan menerima hadiah wang tunai RM200,000 berserta piala dan sijil.
Nasir berkata sepanjang tempoh penganjuran penganugerahan AAN, 49 ahli akademik dalam pelbagai bidang diiktiraf sebagai penerima untuk pelbagai kategori.
Beliau juga menyarankan agar Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif institusi pengajian tinggi (IPT) negara menubuhkan jawatankuasa di peringkat IPT masing-masing untuk mengenal pasti calon-calon yang berkelayakan untuk semua kategori anugerah. – BERNAMA