KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat tidak percaya saranan agar Barisan Nasional (BN) tidak bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka kerana mahu memastikan kerjasama erat antara Putrajaya dan Kelantan dalam menangani isu pasca banjir berterusan.
Beliau sebaliknya mempersoalkan sama ada saranan yang dibuat oleh Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi.
“Tidak mahu letak calon di DUN Cempaka sebab nak jaga hubungan Kerajaan Pusat dan negeri. Kenapa pula nak bertanding di Permatang Pauh. Bukan Permatang Pauh tu di sebuah negeri yang namanya Pulau Pinang.
“Kalau nak jaga hubungan Kerajaan Pusat dan negeri, kedua-duanya tak perlu bertanding. Kita tumpu bantu rakyat yang ditimpa musibah, atau ada agenda tersembunyi,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairy Jamaluddin hari ini mengulangi beberapa saranan agar BN tidak bertanding di DUN Chempaka namun BN wajib meletakkan calon di kawasan Parlimen Permatang Pauh.
Menurut Menteri Belia dan Sukan itu, beliau tidak melihat kepentingan bagi BN bertanding di DUN tersebut yang kosong ekoran kematian wakil rakyatnya, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau bimbang pilihan raya kecil (PRK) tersebut bakal menganggu kerjasama erat antara Putrajaya dan Kelantan dalam menangani isu pasca banjir susulan bencana alam yang melanda negeri itu hujung tahun lepas. – mynewshub.cc