SEBANYAK 24 jenama keluaran tempatan mengambil bahagian dalam pertunjukan fesyen berkonsepkan Street Wear yang julung-julung kalinya diadakan di Malaysia yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.
KL High Street 2015 telah dirasmikan oleh kerabat diraja Perak yang juga merupakan penaung diraja bagi majlis tersebut, Raja Shu’ibah Almarhum Sultan Idris Shah.
Menurut beliau, acara yang dianjurkan ini adalah sesuatu yang sangat baik untuk perkembangan fesyen tanah air yang mana mengentengahkan bakat-bakat pereka fesyen muda tempatan yang tidak kurang menariknya sama seperti jenama pakaian antarabangsa yang lain.
“Rekaan mereka lebih kepada ready to wear, lebih kepada santai, lebih funky serta sesuai dipakai dimana-mana serta harga yang ditawarkan pun mampu milik untuk semua memiliknya.
“Saya harap jenama tempatan boleh setanding dengan jenama-jenama antarabangsa lain kerana kualiti pakaian yang diilhamkan mereka sangat bagus,” kata beliau ketika ditemui di Black Box, Publika, baru-baru ini.
Dalam majlis itu, berlangsung pertunjukan fesyen rekaan terbaharu daripada 24 jenama keluaran anak tempatan itu antaranya Furby & Sugar, Lazy Fat, Bangkit Apparel, Ujong Tanah Clothing, Mayhem Fixed, Liberal Concept, 81 Couture, Feed Clothing, Never Wake Clothing dan lain-lain lagi.
Antara konsep rekaan terbaharu yang diperkenalkan ialah jumpsuit, sweater hoodie, tshirt statement dan baju tie dye.
Menurut pengasas Furby & Sugar, Januar Haikal, dia mahu mengentengahkan jenama pakaiannya agar ianya setanding dengan jenama pakaian ready to wear seperti Zara atau H&M di masa akan datang.
“Untuk majlis kali ini, brand kami memilih tema military yang mana kami akan mula menjual rekaan seluar pendek yang memaparkan logo Furby & Sugar yang sebelum ini lebih sinonim dalam rekaan tshirt kami,” katanya.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh Caprice serta tarian aksi lasak Alam Wakaka dan krewnya. – MYNEWSHUB.CC
Oleh:  JULIANA JOHAR