PETALING JAYA – Bagi sambutan Tahun Baru Cina kali ini, peminat limau berpeluang untuk menikmati sejenis lagi buah yang dikenali sebagai ‘Kinnow Mandarin’ yang diimport dari Pakistan.
Pameran untuk memperkenalkan buah itu diadakan di Sunway Giza Mall di sini, Sabtu yang dilancarkan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Hassan Raza.
Beliau menganggap pameran itu juga sebagai pelung baik untuk peniaga Malaysia meneroka hubungan lebih kukuh dalam memperluas pasaran mereka.
Mengenai keistimewaan buah itu, beliau berkata “Kinnow dipetik dengan kaedah moden yang mencapai piawaian antarabangsa berkaitan keselamatan makanan dan kesihatan, termasuk selepas dipetik dan dibungkus untuk dieksport.”
Sejak beberapa tahun, kualiti buah yang dihasilkan Pakistan terutama Kinnow dan mangga meningkat hasil kerjasama Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNIDO), tambahnya.
Buah yang manis dan banyak jus itu hanya boleh didapati dari November hingga Mac setiap tahun, katanya.
“Kami juga memenuhi piawaian antarabangsa dengan memperoleh pensijilan global mengenai amalan pertanian baik (GAPs). Kini Kinnow dieksport ke negara lain seperti Eropah, China, Rusia, Asia Tenggara dan Timur Tengah,” katanya.
Syed Hassan berkata buah itu juga akan dipasarkan di Indonesia dan Hong Kong tahun depan.
Mengenai keluaran Kinnow, beliau berkata Pakistan menghasilkan dua juta tan Kinnow setahun yang menyumbang kepada 85 peratus pengeluaran global.
Sementara itu pakar antarabangsa GAPs, Kit Chan berkata UNIDO menerusi program bantuan teknikal berkaitan perdagangan (TRTA II) menyediakan bantuan teknikal kepada Pakistan sejak 2010 bagi memastikan kualti buah lebih baik dapat dihasilkan.
“Bagi dua tahun pertama, saya teleh bekerja dengan pakar UNIDO dari negara lain dan juga bekerjasama dengan petani Pakistan untuk membangun kualiti hasil lebih baik,” katanya. – BERNAMA