ALHAMDULILLAH, nampaknya penyanyi dan pelakon Lufya Omar, 30, sudah mengikut langkah beberapa artis wanita tempatan yang memilih untuk bertudung.
Rupa-rupanya, Lufya yang sebelum ini pernah digosipkan dengan salah seorang kerabat diraja, sudah memasang niat bertudung sejak bertahun-tahun lalu, menurut laporan Berita Harian.
Bagaimanapun dek kerana hatinya masih didorong rasa bimbang akan ketiadaan tawaran seni, Lufya memendamkan dahulu hasratnya itu.
“Tapi ibu saya selalu berpesan, rezeki Tuhan itu luas. Malah bertahun-tahun pesanan itu dititipkannya.
“Saya cuba memperbaiki diri kerana mahu menjadi hamba-Nya yang baik. Saya cuba jaga solat dan tak putus berdoa. Alhamdulillah doa saya didengar Tuhan dan segala-galanya dipermudahkan dengan izin-Nya,” kata Lufya.
Kini, Lufya memutuskan untuk tidak lagi menyanyi dan mahu mengurangkan tawaran berlakon selain merancang menceburi skop kerja lain.
Bagaimanapun, dia akan menerima watak yang sesuai dengan imej barunya dan tidak memerlukan dia bersentuhan dengan lelaki.
Baguslah jika Lufya benar-benar istiqamah untuk bertudung dan berubah ke arah lebih baik.
Apa yang penting, kuatkan hati dan terimalah setiap teguran dengan positif demi kebaikan di masa akan datang.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: Elza