KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar kelihatan kurang senang dengan keputusan UMNO tidak bertanding dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.
Beliau memberi reaksi tidak gembira itu melalui satu kenyataan yang menyindir UMNO supaya tidak lagi menyertai sebarang PRK mahupun Pilihan Raya Umum (PRU) selepas ini.
“UMNO bolehlah meneruskan agenda perjuangan parti mereka dengan menceburi lapangan dan bidang yang lain selain politik.
“Pasti Malaysia akan mengalami politik baharu yang lebih aman damai tanpa perlu lagi UMNO-Barisan Nasional (BN) bertanding dalam pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Februari lalu mengumumkan UMNO dan BN tidak akan meletakkan calon untuk bertanding dalam PRK DUN Chempaka pada 22 Mac ini.
Najib yang juga Perdana Menteri dipetik berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan itu berdasarkan beberapa pertimbangan tertentu dan selepas mengadakan perbincangan secara menyeluruh dengan Badan Perhubungan UMNO Kelantan serta UMNO Bahagian Pengkalan Chepa.
Beliau yang juga Pengerusi BN memberitahu, pada masa ini, tumpuan perlu diberikan kepada program pemulihan mangsa banjir dan kerja-kerja kebajikan di Kelantan serta perpaduan ummah. – mynewshub.cc