IPOH – Seorang pegawai Jabatan Perhutanan Daerah Hulu Perak dijatuhi hukuman denda RM70,000 atau tujuh bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM100,000 tiga tahun lalu.
Mahkamah turut melucut hak wang tunai milik tetuduh, Amir Sharifud-Din Aliman, 60, serta 12 akaun miliknya dan seisi keluarga yang keseluruhan setakat ini berjumlah RM3.872 juta.
Hakim Rihaida Rafie menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah menerima wang RM100,000 dengan tiada balasan daripada Ismail Abdullah Manaf di hadapan Kafe Bawang Merah, No 8281, Jalan Suda Bahagia, Gerik, pada kira-kira jam 9 malam 3 Januari 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau boleh didenda atau kedua-duanya. – Berita Harian Online