SERDANG – Usaha sistematik harus dilakukan bersama antara kerajaan Malaysia dan Indonesia dalam memartabatkan penggunaan bahasa Indonesia/Melayu di peringkat antarabangsa, kata Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Beliau menjelaskan pemerkasaan bahasa ibunda itu wajar dilakukan bagi membuka ruang kepada dunia untuk mengenal bahasa serumpun Melayu dan Indonesia seterusnya menggunakanya bersama-sama bahasa Perancis dan Jepun, terutamanya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ketika membuat seruan itu, Rais berkata, bahasa Indonesia dan Melayu yang mempunyai kesamaan jelas antara keduanya telah dituturkan oleh lebih 250 juta orang berbanding bahasa Perancis dan Jepun dan ia selayaknya mendapat tempat di badan dunia berkenaan.
“Namun, sehingga setakat ini tiada permohonan kepada PBB berkaitan hal berkenaan tetapi mereka memaklumkan kepada kita jika ada usaha ke arah itu mereka akan mempertimbangkannya,” katanya kepada media selepas Perasmian Mesyuarat Agung Dwitahunan 2015 Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia (IMAMI) di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata beliau usaha memartabatkan bahasa serumpun itu merupakan satu langkah yang panjang dan tidak dapat dilihat hasilnya dalam masa terdekat.
“Oleh itu bagi memastikan keberhasilannya, promosi perlu dianjurkan dan penerangan mengenainya harus difahami terlebih dahulu oleh penduduk kedua-dua negara khasnya mereka yang bertanggungjawab dalam bidang bahasa dan kebudayaan serta pemerintah sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Rais turut menyeru agar bidang mengenai hal ehwal bahasa, budaya dan sejarah Nusantara perlu dikuasai oleh anak watan dari Malaysia dan Indonesia sendiri.
“Tidak mengapa kalau orang lain juga pakar dalam sejarah kita, tetapi kita ingin melihat kepakaran dalam bidang itu dikuasai sendiri oleh rakyat Indonesia dan Malaysia dalam satu rangkaian universiti dan bidang pengajian yang serius terhadap etnik-etnik dan kenusantaraan kita,” katanya.
Terdahulu, Presiden IMAMI, Datuk Ahmad Tamimi Siregar Kamaruddin berkata, IMAMI merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai keanggotaan dari Malaysia dan Indonesia diwujudkan bagi merapatkan hubungan persaudaraan di antara kedua buah negara dan menjadi forum mengembangkan budaya dan bahasa Mandailing. – Bernama