SIAPA boleh melupakannya….detik pasukan negara berjaya menjulang Piala Thomas Malaysia pada tahun 1992 selepas menewaskan Indonesia di perlawanan akhir 3-2 di stadium keramat Stadium Negara.
Bulu roma meremang menyaksikan pertarungan sengit, ditambah pula ulasan cukup bertenaga Allahyarham Datuk Hasbullah Awang yang benar-benar membangkitkan semangat seluruh rakyat Malaysia pada ketika itu.
BACA JUGA – Khairy Ucap Takziah Atas Pemergian Hasbullah Awang
Laungan kemenangan pada saat tengah malam apabila pasangan Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang menewaskan beregu Rexy Mainaky dan Ricky Subagja mengakhiri penantian 25 tahun Malaysia untuk menjulang piala agung badminton dunia itu.
Sebelumnya, perseorangan pertama negara Rashid Sidek berjaya menewaskan Ardy Wiranata 15-11, 10-15 dan 15-8 tetapi pasangan beregu pertama Malaysia Jalani Sidek dan Razif Sidek tewas kepada pasangan Indonesia Eddy Harto dan Rudy Gunawan 9-15, 15-9 dan 3-15.
Pemain perseorangan kedua negara Foo Kok Keong kembali meletakkan Malaysia di depan dengan 2-1 selepas menewaskan Allan Budi Kusuma 15-6 dan 15-12 disusuli kebangkitan Soon Kit dan Beng Kiang menewaskan Rexy dan Ricky dengan 15-12, 10-15 dan 15-8 sekaligus memastikan Piala Thomas milik Malaysia.
Bagi yang berusia lingkungan 30-an kini, kenangan ketika masih di bangku sekolah waktu itu, sama-sama bersorak saat Malaysia memenangi Piala Thomas berkenaan pasti masih segar di ingatan.
Kini, kita sudah kehilangan suara keramat berkenaan apabila perginya Allahyarham Hasbullah hari ini di Institut Jantung Negara (IJN).
Untuk anda, penulis imbau kembali saat kemenangan Malaysia menewaskan Indonesia di Stadium Negara pada malam itu… – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU KÂÂ