JIKA anda perhatikan, penggunaan butang fizikal pada kebanyakan peranti pintar semakin berkurangan kini kerana butang navigasi di atas skrin lebih mudah digunakan.
Buat pengeluar seperti Samsung, mereka masih mengekalkan rekaan butang fizikal ini kerana terdapat sistem pengesan jari pada bahagian hadapan peranti.
Tetapi sekiranya anda mahukan peranti tanpa sebarang butang fizikal termasuklah butang suara dan kuasa, Manta 7X adalah peranti Android yang anda nanti-nantikan.
Manta, pengeluar peranti pintar yang berpangkalan di China mengeluarkan telefon pintar Manta 7X yang menggantikan butang kuasa dan suara fizikal dengan sensor sesentuh pada bahagian sisi peranti.
Sensor pada bahagian sisi ini turut berfungsi sebagai pengesan cap jari.
Peranti pintar ini mempunyai skrin 5 inci HD penuh, diperkasakan pemproses 2.5 GHz Snapdragon 801, RAM sebesar 2 GB dan muatan dalaman 32 GB.
Kemampuan optik pula 13 Megapixel pada bahagian belakang dan hadapan dengan fungsi OIS.
Tiada sokongan MikroSD tetapi ia dilengkapi bateri sebesar 4200 mAh di mana kapasiti bateri ini amat berbaloi buat pengguna yang menginginkan kepuasan.
Keseluruhan peranti diperbuat daripada logam dan ia mempunyai ketahanan air IP55.
Buat masa ini Manta 7X hanya akan dijual di China dengan harga jualan sekitar RM2367.
Harus dikatakan harga jualan 7X adalah terlalu mahal dan oleh sebab itu pihak Manta akan turut menjual Manta 7L yang menggunakan pemproses Mediatek pada harga lebih murah.
-MYNEWSHUB.CC
Sumber: Phonearena
Oleh: hzqahmd