PUTRAJAYA – Sempena cuti Tahun Baharu Cina ini, Masjid Putra di pusat pentadbiran persekutuan ini menjadi tarikan ramai pengunjung.
Mereka merasa kagum lebih-lebih lagi dengan senibinanya yang menggabungkan unsur tradisional Melayu dan timur tengah.
Aminah Azizan, 30, dari Johor berkata senibina masjidnya adalah cantik dan menarik.
“Ia unik serta mempunyai daya tarikan tersendiri. Struktur pembinaannya luar biasa. Rasa sungguh nyaman dan tenang,” kata kerani ini yang berkunjung bersama keluarganya.
Beliau turut tertarik dengan kemudahan yang selesa dan bersih seperti tandas, tempat letak kereta dan tempat menjamu selera.
Peniaga dari Melaka, Mohd Samad Samsuddin, 52, berkata beliau tertarik dengan kedudukan masjid yang dibina berhadapan Tasik Putrajaya.
“Dari masjid ini, boleh dapat dilihat dengan jelas keindahan tasik dan kawasan sekitarnya. Sebahagian besar kawasan masjid dikelilingi oleh tasik Putrajaya.
“Ini menjadikan Masjid Putra kelihatan terapung-apung di permukaan tasik dan menyerlahkan lagi keindahannya,” katanya.
Beliau turut tertarik dengan reka bentuk masjid ini.
Sempena cuti Tahun Baharu Cina, ramai pelancong asing terutama daripada China, India dan Indonesia turut mengunjungi masjid tersebut.
Mohan Sivalingam, dari New Delhi, India berkata beliau datang kerana ingin melihat sendiri keindahan masjid serta pemandangan yang terdapat di sekelilingnya.
“Apa yang saya baca di Internet adalah betul. Memang wujud keunikan di sini. Satu perasaan tidak dapat saya beritahu. Tapi, sungguh nyaman. Hati rasa tenang.
Ia ada satu aura positif di sini,” katanya.
Masjid Putra yang namanya diambil sempena nama perdana menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman Putra mula dibina pada Jun 1997 dan siap dua tahun kemudian. Ia berkeluasan 1.37 hektar dan pembinaannya menelan kos kira-kira RM250 juta. – BERNAMA