Batu Gajah – Seorang lelaki warga emas maut selepas diikat dan dikurung dalam kontena bersama lapan mangsa lain dalam kejadian samun kilang di Taman Perindustrian Bemban, di sini , awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai V Arunasalam, 62, yang bekerja sebagai pemandu lori dikurung bersama lapan mangsa lain dalam kontena oleh sekumpulan 15 lelaki bersenjatakan parang.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian sepasukan polis ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan mendapati dua pengawal keselamatan bersama tujuh pekerja kilang berkenaan dikurung dalam kontena.
“Suspek dipercayai lebih kurang 15 orang terdiri daripada lelaki India dan Melayu bersenjatakan parang menyamun kilang.
“Kumpulan penjenayah terbabit kemudian mengikat dan mengurung dua pengawal keselamatan dan tujuh pekerja dalam kontena di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya seorang daripada mangsa yang dikurung di dalam kontena didapati meninggal dunia, namun tiada mangsa lain yang cedera dan kesemua suspek dipercayai melarikan diri dengan lori. – myMetro Online