KUALA LUMPUR – DAP mendakwa MCA mengkhianati kaum Cina kerana tidak mendesak Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta maaf kepada kaum itu.
Setiausaha Agung DAP, Limg Guan Eng berkata, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pernah membuat kenyataan untuk membuat desakan itu ke atas Ismail Sabri tetapi tidak berbuat demikian.
“Tiong Lai tidak mendesak Ismail Sabri memohon maaf kerana menyeru pengguna memboikot peniaga Cina yang didakwa enggan menurunkan harga barangan.
“Adakah itu jaminan Tiong Lai untuk memperjuangkan masyarakat Cina dengan hanya mahu Ismail Sabri membuat penjelasan rasmi,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Guan Eng mendakwa, pengkhianatan MCA itu lebih `menyakiti’ masyarakat Cina berbanding kenyataan yang dibuat oleh Ismail Sabri ke atas kaum berkenaan.
“MCA tidak akan diampuni dengan pengkhianatan bersejarah ini,” dakwanya.
Tiong Lai hari ini bagaimanapun telah memaklumkan kepada Kabinet bahawa partinya menuntut Ismail Sabri menarik balik kenyataan itu dan mendesak supaya tuntutan MCA dimasukkan dalam rekod mesyuarat.
Ismail Sabri yang merupakan Ahli Parlimen Bera sebelum ini mencetuskan kontroversi berhubung kenyataan beliau yang menggesa masyarakat Melayu memboikot peniaga Cina yang tamak kerana enggan menurunkan harga barang walaupun harga minya sudah turun. – mynewshub.cc