KUALA TERENGGANU – Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis ‘methamphetamine’ seberat 157.64 gram.
Syamsul Hafiz Iskandar Salleh, 21, didakwa mengedar dadah jenis itu pada kira-kira pukul 10.30 malam pada 8 Feb lalu di Kampung Pasir Panjang, di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.
Ketika pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi, tertuduh sekadar mengangguk tanda faham dengan pertuduhan itu yang membawa hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. – BERNAMA