SINGAPURA – Sekitar 57 peratus daripada suku juta murid sekolah rendah di Singapura didapati mengalami masalah kurang cukup tidur, menurut satu tinjauan yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Nanyang (NTU) di sini, lapor media tempatan.
Mereka dikesan hanya tidur nyenyak kurang lapan jam sehari pada hari-hari persekolahan, sedangkan masa standard sepatutnya bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun perlu tidur lena secara ideal antara sembilan sehingga 10 jam setiap hari.
Tinjauan tersebut dijalankan bersama oleh NTU dan Hospital Universiti Nasional (NUH) melibatkan lebih 300 orang – terdiri daripada ibu bapa yang mempunyai anak berusia antara 6 sehingga 9 tahun, dari November hingga Disember tahun lalu.
Antara lain, kelompok ibu bapa terbabit ditanya mengenai corak tabiat tidur rutin mereka dan anak-anak mereka, serta anggapan mereka tentang isu tidur secara lebih spesifik bagi menilai kepelbagaian gaya hidup sihat golongan muda Singapura.
Kajian itu juga mendapati 37 peratus kanak-kanak yang ditinjau tidak mengamalkan masa tidur tetap, manakala 35 peratus tiada jadual masa tidur yang tetap sekali gus menjadi punca mereka sering berasa mengantuk atau menjadi terlalu aktif pada siang hari.
BACA :Ā 1,000 Murid Miskin Singapura 6 Bulan Sarapan Percuma Nestle
Paling menakutkan, sebahagian daripada mereka pula mengakui boleh terlelap semasa menaiki pengangkutan awam atau ketika menonton televisyen dan lebih membimbangkan, sembilan daripada 10 ibu bapa tidak menyedari anak mereka tidak cukup tidur.
Bagi kanak-kanak ini, kebanyakan mereka masih lagi menggunakan peralatan digital sebelum tidur yang meliputi 75 peratus responden menonton televisyen, 60 peratus dengan telefon pintar dan 30 peratus menatap komputer selama sejam sebelum tidur.
Kajian saintis antarabangsa baru-baru ini mendedahkan, tabiat sedemikian yang kononnya bagi mengikuti perkembangan terkini dunia teknologi canggih sebenarnya boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk tidur nyenyak dalam jangka masa panjang.
Tinjauan itu turut memberi panduan kepada ibu bapa tentang tanda-tanda tidak cukup tidur dalam kalangan anak – termasuk tidak dapat memberi tumpuan, prestasi pelajaran merosot, cepat marah dan kecewa serta sering terlelap semasa santai duduk berehat.
Sistem pendidikan rendah Singapura diiktiraf di peringkat global sebagai antara terbaik di dunia dengan 173 buah sekolah yang memiliki 260,000 murid dan 13,300 guru iaitu nisbah sebuah kelas boleh menempatkan optimum 22 murid sahaja. – Agensi