KOTA BHARU – Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia malam ini di rumahnya di Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada usia 84 tahun.
Anak beliau Nik Mohamad Abduh turut mengumumkan kematian ayahandanya dalam satu kenyataan berbunyi:
“Dengan izin tuhannya, para malaikat datang menyempurnkan tuga mengiringi roh ayahanda menuju penciptanya tepat pukul 9.40 malam Jumaat yang agung. Semoga ayahanda berbahagia di sisi Allah.”ÂÂ
BACA JUGA – Perginya Nik Aziz… Seorang Ilmuwan, Tokoh Agama Kelantan
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya kira-kira pukul 8.30 malam dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dalam keadaan alat bantuan pernafasan sudah dikeluarkan.
Allahyarham dirawat di hospital sejak 19 Jan lepas kerana kanser prostat dan keadaan kesihatannya kian merosot sejak Disember tahun lepas.
Petang tadi, Nik Mohamad Abduh mengesahkan bapanya dalam keadaan tidak stabil.
“Tahap kesihatan ayahanda menurun selepas doktor merawat ulsernya semalam,” katanya.
Nik Mohamad Abduh berkata jenazah ayahandanya akan disembahyangkan di Masjid Pulau Melaka yang terletak bersebelahan rumahnya pada pukul 10.30 pagi esok.
Sebaik sahaja tersebarnya berita kepulangan ke rahmatullah Nik Abdul Aziz, orang ramai khususnya penduduk kampung di sini, datang untuk menziarahi jenazah Allahyarham.
Keadaan di perkarangan rumah Allahyarham agak sesak dengan orang ramai.
Ketika menjadi Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz menduduki kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka.
– MYNEWSHUB.CC