KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa dikasari oleh anggota polis yang mahu menahannya sewaktu beliau berada di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia mendakwa, beberapa anggota polis yang mahu menahannya itu tidak memperkenalkan diri dan menjelaskan kesalahan beliau dalam kejadian tersebut menyebabkan kekecohan berlaku.
“Pihak polis berpakaian biasa cuba menangkap saya selepas Adam ditangkap. Saya mengecam tindakan mereka bertindak kasar tanpa memperkenalkan diri dan menjelaskan kesalahan saya dalam cubaan mereka menangkap saya,” dakwanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Media semalam melaporkan berlaku pergelutan di antara anggota polis dengan para penyokong Adam ketika mereka cuba menahan Nik Nazmi yang mempertikai tindakan polis menahan bekas aktivis mahasiswa tersebut.
Bagaimanapun, penyokong Adam sempat membawa Nik Nazmi pergi dari IPD Dang Wangi sebelum ditahan oleh anggota polis terbabit.
Sehubungan itu, Nik Nazmi menggesa polis membebaskan Adam dan Koordinator Jingga13, Fariz Musa yang ditahan kerana terlibat dengan perhimpunan haram ‪#‎KitaLawan‬ di pusat beli-belah Sogo di sini petang semalam.
“Pihak berkuasa mesti menghormati hak demokrasi rakyat Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.