KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar melalui laman Facebook beliau mengingatkan hakim bahawa mereka merupakan golongan yang mudah untuk masuk neraka.
Beliau yang juga anak Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan itu dengan mengemukakan Riwayat Abu Dawud, At Thawawi berikutan keputusan Hakim Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara ke atas bapanya.
“Hakim ada tiga; dua di antara mereka masuk neraka, sedangkan satu antara mereka masuk syurga iaitu seorang lelaki yang mengetahui Al Haq, lalu ia memutuskan perkara dengannya (al haq), maka ia masuk syurga.
“Adapun lelaki yang mengetahui Al Haq, tapi ia tidak memutuskan perkara dengannya, maka ia masuk neraka. Sedangkan seseorang yang tidak mengetahui al haq lalu ia memutuskan perkara manusia dengan kebodohannya maka ia juga masuk neraka (Riwayat Abu Dawud, At Thawawi),” katanya di sini hari ini.
Mahkamah Persekutuan hari ini mengumumkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dikekalkan.
Pasukan pendakwaan sebelum ini memfailkan rayuan balas agar hukuman terhadap Anwar ditambah.
Tuduhan yang dikenakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
– MYNEWSHUB.CC