MELAKA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus komited untuk menurunkan lagi kadar jenayah di Melaka tahun ini walaupun telah berjaya menurunkan lebih 12 peratus kes jenayah dilaporkan tahun lepas kepada 3,677 kes berbanding 4,187 kes pada tahun sebelumnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata kadar jenayah dalam tempoh antara 1 Jan hingga 24 Feb lepas turut mencatatkan penurunan sebanyak 110 kes kepada 486 kes daripada 596 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata pencapaian positif itu bukan titik noktah bagi polis kontinjen Melaka mengurangkan aktiviti penguatkuasaan, pemantauan dan operasi mengesan pelaku jenayah di negeri itu.
“Pelbagai pendekatan dan usaha dilakukan polis Melaka bersama agensi kerajaan negeri, persekutuan, badan bukan kerajaan, sekolah, universiti dan juga institusi kekeluargaan dalam usaha meningkatkan kesedaran kumpulan sasar berkenaan agar tidak terlibat dengan aktiviti jenayah,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, beliau berkata tugas membanteras jenayah tidak terletak di bahu pihak polis semata-mata malah ia suatu amanah yang perlu dipikul bersama satu kelompok masyarakat yang besar di negeri ini.
Raja Shahrom berkata institusi keluarga memainkan peranan penting atau tonggak utama dalam melahirkan generasi muda yang sempurna akhlak dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir negatif.
Beliau berkata berdasarkan rekod polis di negeri ini, kebanyakan pesalah laku jenayah terdiri daripada golongan muda yang datang daripada keluarga bermasalah atau kurang mendapat perhatian ibu bapa.
Katanya media turut memainkan peranan penting melaporkan penangkapan, pertuduhan serta hukuman yang dikenakan kepada penjenayah sekali gus mengurangkan keinginan individu untuk melakukan jenayah selain masyarakat berperanan sebagai mata dan telinga polis terhadap kejadian jenayah di kawasan masing-masing.
“Walaupun polis menjalankan rondaan dan pemantauan secara berterusan namun ada waktunya ketika jenayah berlaku polis tiada di sana dan masyarakat adalah sumber maklumat polis yang paling tepat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata masyarakat atau pelancong di negeri ini diingatkan supaya tidak memberi ruang dan peluang kepada penjenayah untuk mejadikan mereka mangsa terutama pada musim perayaan.
“Kejadian jenayah di Melaka kini semakin berkurangan namun pada masa tertentu ia meningkat terutama kes ragut dan pecah kenderaan pada cuti perayaan dan persekolahan,” katanya. – BERNAMA