SHAH ALAM – Seorang pekerja kilang warga Myanmar mati dipercayai akibat ditikam rakan senegara di Kota Kemuning di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Azisman Alias berkata mayat lelaki berumur 30-an itu dijumpai pada kira-kira 1 pagi dengan dua kesan tikaman di dada di sebuah rumah kedai dua tingkat yang dijadikan asrama pekerja.
Berdasarkan siasatan awal, dipercayai mangsa dan beberapa rakan minum bersama sejak petang semalam sempena cuti Tahun Baharu Cina.
“Susulan kejadian itu, polis menahan empat rakan mangsa untuk disoal siasat termasuk suspek utama.
“Kesemua mereka merupakan rakan sekerja mangsa dan berusia dalam lingkungan 30-an,” katanya sambil menambah motif kejadian masih dalam siasatan. – BERNAMA