KUALA LUMPUR – Perbincangan mengenai penaiktarafan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar, Sabah akan diadakan sebelum Jun ini, kata Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Beliau berkata ia akan dilaksanakan secara bersepadu oleh Angkatan Tentera Malaysia dan pihak Kementerian Pertahanan.
“Perbincangan itu antara lain adalah tentang pemerolehan aset bagi penaiktarafan berkenaan.
“Saya tak boleh umum (jenis-jenis pemerolehan aset) sebab belum dimuktamadkan, saya nak maklumkan di sini, segala pemerolehan hanya boleh dilakukan pada 2016, tetapi perbincangan (mengenainya), akan dibuat sebelum bulan Jun,” katanya.
Abdul Aziz berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat kepada sembilan pegawai yang dinaikkan pangkat di KD Sri Gombak, di sini hari ini.
Pada 25 Jan lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pangkalan itu akan dilengkapkan dengan Sistem Pertahanan Udara canggih sebagai sebahagian usaha menaik taraf pangkalan itu secara menyeluruh.
Pangkalan yang dibina pada 2001 itu merangkumi Markas Wilayah Laut 2 dan Markas Angkatan Kapal Selam.
Ia turut menjadi tempat persinggahan (Port of Call) kapal negara asing seperti Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Perancis, Jepun, Singapura dan India. – BERNAMA