TANJUNG MALIM – Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pendidikan merupakan asas penting dalam melahirkan modal insan berkualiti ke arah mencapai status negeri maju.
Beliau berkata pendidikan dapat melahirkan individu yang mempunyai jati diri, berketrampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negeri maju.
“Dunia hari ini adalah dunia pendidikan, mereka yang tiada ilmu akan ketinggalan… untuk menjadi negeri maju, perlu berteraskan kepada ilmu,” katanya ketika berucap pada majlis bicara tokoh Menteri Besar Perak merangkap Menteri Mentor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersempena program orientasi pelajar baharu universiti itu semalam.
Beliau berkata kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kualiti pendidikan, termasuk membantu institusi yang memerlukan bantuan dan menggalakkan penggunaan ICT di sekolah.
“Kita juga akan memastikan anak-anak daripada golongan miskin dan tinggal di luar bandar turut mendapat pendidikan. Saya tidak mahu disebabkan kemiskinan atau duduk di luar bandar, anak-anak ini tidak boleh belajar sehingga ke peringkat universiti,” katanya.
Zambry juga berkata aspek penyelidikan merupakan asas dalam menaikkan kredibiliti dan nama UPSI sebagai universiti terulung di peringkat global.
“Saya berharap fokus penyelidikan dapat dijadikan sebagai budaya dalam universiti yang telah melahirkan ramai ilmuwan.
“Jangan terbeban dengan konsep ini kerana selain penyelidikan, penyampaian akademik berkualiti oleh tenaga pengajar dan bidang kokurikulum juga harus dititikberatkan,” katanya.
Sementara itu, mengulas program tersebut, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI Profesor Madya Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata ia diadakan bagi membolehkan mahasiswa mendengar amanat menteri mentor universiti berkenaan untuk dijadikan panduan.
“Mudah-mudahan apa yang dikongsikan akan menjadi motivasi dan panduan kepada mereka dalam meneruskan kehidupan seharian, sama ada semasa bergelar mahasiswa atau selepas tamat belajar dan berada dalam mana-mana bidang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata UPSI, yang ditubuhkan pada 1997, kini berusia hampir 19 tahun dan meraih pelbagai kecemerlangan serta kejayaan khususnya dalam menerajui arena pendidikan negara.
“Justeru itu, para pelajar perlu bertekad dan berganding bahu untuk menjadi mata rantai yang meneruskan kejayaan dan kegemilangan ini,” katanya. – BERNAMA