KUALA LUMPUR – Dialog dan seminar mengenai hubungan keagamaan dan kaum perlu dipergiat bagi menyemarakkan keharmonian dan menangani konflik dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Dr Rais Yatim berkata menerusi dialog antara pemimpin berlainan agama dan kaum, ia dapat memberi pemahaman jelas sekali gus mengeratkan hubungan sesama pemimpin berkenaan.
“Hal-hal berhubung keagamaan yang mampu mencetuskan keamanan dunia mesti diberi perhatian oleh (golongan) cerdik pandai ini.
“Selain itu, mereka perlu melihat dan menterjemah prinsip agama yang membawa kepada keharmonian dan semangat menghormati sesama manusia perlu diserlahkan melalui program dialog sedemikian,” katanya.
Rais, yang juga Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, bercakap kepada pemberita selepas merasmikan ‘Fourth International Seminar on Interfaith Harmony and Tolerance 2015’ di UIAM di sini hari ini.
Menurut beliau, media sosial boleh menjadi platform dalam membincangkan perbezaan yang mungkin tercetus akibat ketidaksefahaman antara agama dan kaum sama ada dalam negara atau di peringkat antarabangsa.
“Di media media sosial juga kita harus mengisikannya dengan program yang memupuk persefahaman, keamanan dan perasaan sayang antara kaum serta meningkatkan pengertian prinsip menghormati agama dan budaya berlainan,” katanya.
Seminar dua hari berakhir esok itu dihadiri kira-kira 250 peserta dari 14 negara termasuk Bangladesh, Myanmar, Indonesia, Turki, Brunei dan Emiriyah Arab Bersatu. – BERNAMA