MUAR – Cadangan untuk memindahkan tapak Pasar Tani Mega di sini ke satu tempat yang lebih selesa masih dalam perbincangan, kata Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim.
Razali berkata walaupun terdapat beberapa cadangan untuk menempatkan pasar tani berkenaan ke satu kawasan di Jalan Junid di sini, namun ia masih di peringkat perbincangkan dengan beberapa pihak.
“Tapak cadangan itu adalah milik beberapa agensi kerajaan dan kita dalam perbincangan untuk mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.
“Cadangan lain adalah menempatkannya di satu kawasan di Stadium Sultan Ibrahim iaitu kawasan bersebelahan tapak sedia ada ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Maulidur Rasul dan melawat pasar tani berkenaan di sini, hari ini.
Pasar Tani Mega yang beroperasi sejak empat tahun lalu itu mendapat bantahan penduduk setempat yang mendakwa lokasinya kurang sesuai kerana terletak dalam kawasan perumahan yang menyebabkan kesesakan.
Terdapat kira-kira 120 peniaga di pasar tani berkenaan yang dikunjungi lebih 1,000 orang pada setiap Ahad. – BERNAMA