KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) menjangkakan hukuman penjara ke atas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menimbulkan krisis kepimpinan parti itu.
Setiausaha Agungnya, S.Arutchelvan turut menjangkakan hukuman tersebut akan menyebabkan krisis politik di negara ini.
“PSM terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat II kes Anwar.
“Harapan mereka yang mengikuti perbicaan ini yang percayai Anwar tidak salah tidak kesampaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Arutchelvan turut membuat dakwaan semborono hukuman ke atas Anwar akan menyebabkan isu yang dihadapi rakyat termasuk kenaikan harga barangan akan berterusan.
Mahkamah Persekutuan sebentar tadi mengumumkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dikekalkan.
Pasukan pendakwaan sebelum ini memfailkan rayuan balas agar hukuman terhadap Anwar ditambah.
Tuduhan yang dikenakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. – mynewshub.cc