KLANG – Ketika ada di kalangan DAP yang berhasrat mengambil alih jawatan ketua pembangkang, kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ternyata tidak begitu setuju untuk melepaskan kerusi itu.
Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, parti itu mempunyai peranan khusus dalam Pakatan Rakyat dan seharusnya wajar mengekalkan kerusi itu.
“Kami memainkan peranan untuk menyatupadukan Pakatan,” kata Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan.
Beliau berkata, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai pemimpin paling senior dalam parti itu juga layak menerima jawatan itu.
Ditanya sama ada ia akan membebankan Azmin yang juga Menteri Besar Selangor, Fuziah berkata, Ahli Parlimen Gombak itu seorang pemimpin yang berkebolehan.
Bagaimanapun, sebelum ini Azmin berkata, pelantikan ketua pembangkang yang baharu tidak sepatutnya timbul ketika ini kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihukum penjara itu masih memegang jawatan itu.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh yang diisi Anwar akan diumumkan kosong oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas 14 hari sabitan kes itu diputuskan Mahkamah Persekutuan, selain mengambil kira petisyen pengampunan yang dikemukakan Anwar jika ada.
Sementara itu, timbul spekulasi adanya pihak DAP yang mahukan jawatan itu.
Menurut sumber, walaupun MP veteran parti itu tidak berkeras mahukan jawatan itu, tetapi wakil DAP yang baharu berpendirian sebaliknya.
Mereka menganggap, sebagai parti yang mempunyai kerusi paling banyak di Parlimen berbanding parti gabungan Pakatan lain, maka wajar DAP mendapat jawatan itu.
DAP memperoleh 37 kerusi Parlimen berbanding PKR (28) dan 21 kerusi dimiliki PAS.
“Ia bukan isu besar untuk kami kerana kami juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya berbanding PKR sebagai ketua pembangkang di Parlimen selama lapan tahun,” kata MP veteran DAP.
Ketika dihubungi, Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, William Leong berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut pada mesyuarat Majlis Pimpinan Presiden Pakatan tidak lama lagi.
Mesyuart yang sepatutnya berlangsung Jumaat lalu ditunda berikutan kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. – mStar Online