SINGAPURA – Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang menjalani pembedahan untuk membuang kelenjar prostat Isnin, dibenarkan keluar daripada Hospital Besar Singapura Rabu pagi, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Lee menjalani pembedahan itu setelah didiagnosis menghidap kanser prostat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan PMO, pakar bedah Prof Christopher Cheng berkata: “Laporan patologi perdana menteri adalah baik.”
“Penyakit ini adalah kecil tetapi berpotensi besar. Kami amat gembira kami mampu mengesan dan mengeluarkannya tepat pada masa. Perdana menteri akan pulih sepenuhnya,” katanya.
Dalam kenyataan itu juga Lee berterima kasih kepada pasukan ahli radiologi, patologi, fisioterapi, para doktor dan jururawat yang cekap dan berdedikasi merawat dan membantu menjaganya melalui pembedahan. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=lvQkgyEWuYk