MELAKA – Orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan diminta tampil bagi mengenal pasti mayat seorang lelaki yang ditemui terapung di Sungai Malim di Kampung Pulau Gadong di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata mayat lelaki itu yang berpakaian kemeja-T dan berseluar jeans ditemui 8.30 pagi oleh orang awam.
Beliau berkata identiti serta umur mangsa tidak dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang telah kembung selain tiada pengenalan diri ditemui bersama mayat tersebut.
“Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan punca sebenar kematian akan diketahui selepas bedah siasat dijalankan. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya kepada pemberita di sini Khamis.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan anggota keluarga atau rakan, diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA