Kuala Lumpur – Seramai 100 wanita warga asing yang dipercayai mangsa eksplotasi seks berjaya diselamatkan dalam satu serbuan di kelab malam terkemuka di Jalan P Ramlee, lewat malam tadi.
Ketika serbuan kira-kira 11.45 malam itu, semua wanita terbabit didapati sedang bekerja melayan pelanggan yang kebanyakannya warga asing di premis berkenaan.
Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur, Deputi Suprintenden Bahrain Mohd Rose berkata,semua wanita warga asing itu berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun dari pelbagai negara.
Menurutnya, antara wanita yang berjaya diselamatkan adalah warga Vietnam, Uzbekistan, Iran, Filipina dan Indonesia yang disyaki mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan ekploitasi seks.
“Seorang wanita tempatan yang mengaku bekerja sebagai juruwang premis turut ditahan untuk membantu siasatan dan semua tangkapan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut,”katanya ketika dihubungi, hari ini. – myMetro Online