BUKIT MERTAJAM – Polis menahan 15 individu termasuk lima warga asing dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah di sekitar bandar ini bermula pukul 11 malam tadi hingga awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah SPT ACP Rusli Mohd Noor hari ini berkata lima individu warga asing termasuk empat wanita itu berumur 20 hingga 40 tahun.
“Kami menjalankan pemeriksaan di beberapa buah rumah kongsi dan mendapati dua wanita Myanmar, masing-masing seorang wanita Bangladesh dan Indonesia serta seorang lelaki Bangladesh gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Mereka dipercayai bekerja di negeri ini tanpa dokumen dan permit dan akan dihantar ke Jabatan Imigresen Pulau Pinang bagi didokumentasi untuk tindakan selanjutnya, katanya di sini hari ini.
Seramai 207 pegawai dan anggota polis, Rela dan pasukan sukarela polis terlibat dalam operasi tiga jam itu.
Rusli berkata dalam operasi itu, pihaknya turut menahan enam lelaki termasuk seorang lelaki warga Thailand berumur 20-an yang terlibat dengan aktiviti dadah.
Katanya polis juga menahan empat lelaki yang memang dikehendaki berkaitan beberapa kes jenayah seperti samun, ragut dan pecah rumah.
“Sepanjang operasi itu, polis turut menjalankan pemeriksaan ke atas 202 kenderaan dan mengeluarkan 44 saman atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Beliau berkata operasi itu akan diteruskan bagi membendung aktiviti jenayah, aktiviti mesin perjudian haram, pusat siber kafe dan pusat hiburan tanpa lesen serta mengesan suspek jenayah, dadah dan lain-lain kesalahan. – BERNAMA