KUANTAN – Polis menahan dua orang buruh, masing-masing mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, setelah didapati berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan Alor Akar, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata polis yang menerima laporan berhubung perkara itu segera menghantar Unit Rondaan Bermotosikal (URB) diketuai DSP Mohd Zaidi Mat Zin untuk melakukan pemantauan dan pemeriksaan cegah jenayah.
Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas lelaki berusia 23 dan 34 tahun itu, polis menemui satu penyedut minuman berwarna hijau berisi serbuk dan ketulan jernih dipercayai dadah di dalam poket seorang daripada suspek itu.
“Turut ditemui satu plastik lutsinar juga mengandungi serbuk dan ketulan jernih juga disyaki dadah. Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berasal dari Alor Akar dan Taman Selamat Baru, dekat sini mendapati mereka positif dadah jenis Methapathamine.
Polis kini menyiasat sama ada kedua-dua suspek juga terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah kecil-kecilan di daerah ini selain menyiasat bekalan yang diperoleh. – BERNAMA