KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah oleh kumpulan ‘Geng Pasir Panjang’ yang aktif menjalankan kegiatan itu di daerah ini dengan tertangkapnya ketua kumpulan itu malam tadi, kata polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abd Rafar berkata suspek itu yang juga seorang mekanik berumur 20 tahun itu ditahan di Kampung Pasir Panjang pukul 10.45 malam.
Hasil siasatan ke atas suspek, polis menemukan lapan peket plastik berwarna biru yang dipercayai mengandungi dadah jenis pil kuda berjumlah 1,600 biji yang dianggarkan seberat 160 gram.
“Pemeriksaan di rumah remaja berkenaan turut menjumpai wang tunai berjumlah RM3,410 yang dipercayai hasil jualan dadah,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.
Menurutnya, remaja itu memang dikehendaki polis kerana aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Pasir Panjang, Manir dan Chabang Tiga.
Beliau berkata kumpulan yang dianggotai 10 individu berumur antara 20 hingga 30 tahun itu mula aktif dalam kegiatan jenayah sejak September lepas.
Idris berkata hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas remaja berkenaan didapati negatif dadah. Suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Idris juga berkata polis turut menyita sebuah motosikal yang digunakan suspek.
Katanya suspek ditahan enam hari untuk siasatan lanjut. – BERNAMA
Video:Dua lelaki ditahan disyaki edar pil kuda