IPOH – Kementerian Pendidikan sedang mengkaji kelemahan yang dikenal pasti dalam ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diperkenalkan tahun lepas sehingga mengundang reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata proses penambahbaikan PT3 akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan peperiksaan berasaskan kemahiran berfikir aras tinggi itu dapatkan dilaksanakan secara lebih berkesan.
Katanya masih terdapat segelintir pihak termasuk ibu bapa dan guru yang belum memahami konsep peperiksaan tersebut dan mereka perlu diberi pemahaman yang lebih mendalam berkaitan ujian tersebut.
“Ya, memang kita akui sistem ini belum lagi sempurna tetapi kita lihat ada peningkatan,” katanya kepada pemberita di sini.
Sebelum itu, beliau mengadakan sesi dialog bersama warga pendidik pada majlis Bicara Profesional Gelombang 1, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Hotel Casuarina Meru, di sini, hari ini.
Pada Mac 2014, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pendidikan telah mengumumkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diperkenalkan pada 1993 digantikan dengan PT3 mulai tahun lepas.
PT3 merupakan komponen penting daripada sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Idris berkata sesi dialog tersebut adalah untuk memberi keterangan lebih lanjut kepada warga pendidik mengenai perkembangan PPPM 2013-2025.
Selain itu, beliau berkata kementerian sedang menjalankan penemuan bersama warga pendidik di setiap negeri bagi membincangkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025 yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, akhir Mac depan.
Antara tujuan pelan itu adalah bagi memastikan sistem pengurusan dan pembelajaran di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini mencapai tahap pendidikan bertaraf dunia bagi melahirkan golongan pelajar yang holistik. – BERNAMA