ALOR GAJAH – Pergerakan Puteri Umno bersetuju BN tidak perlu bertanding kerusi Dun Chempaka bagi memberi fokus kepada proses pemulihan banjir di Kelantan.
Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, bagaimanapun berkata keputusan itu tertakluk kepada pucuk pimpinan parti dan jika bertanding, pergerakan itu sentiasa bersedia untuk menyiapkan jentera.
“Bagi (PRK) Permatang Pauh, saya ke sana dua hari lepas bertemu kepimpinan Puteri negeri dan melihat, walaupun belum diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka telahpun mengadakan gerak kerja sebagai persediaan.
“Ini satu usaha amat baik, bermakna kita sudah bersedia untuk bertanding,” katanya, selepas merasmikan majlis penutup ‘Masjid Tanah Run’ di Padang Ria Masjid Tanah, di sini hari ini.
Beliau mengulas pendapat Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam, bahawa BN tidak perlu meletakkan calon di Dun Chempaka, sebaliknya memberi fokus kepada soal perpaduan dan pembangunan pasca banjir di Kelantan.
Mengenai PRK Permatang Pauh, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, berkata pengundi perlu membuat keputusan yang bijak bagi memilih wakil rakyat mereka.
“Memandangkan (kawasan) itu kerusi milik PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan secara turun temurun sejak pilihan raya umum 1982, milik keluarga (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.
“Namun saya berharap pengundi di Permatang Pauh dapat membuat keputusan bijak apatah lagi mereka telah disusahkan dengan karenah pimpinan PKR dan jangan mengadaikan peluang atau pembangunan yang dilakukan BN,” katanya.
Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Dengan keputusan itu, Anwar, 67, hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa seorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan jika dia dihukum penjara lebih dari satu tahun atau didenda lebih RM2,000.
Terdahulu, lebih 2,000 peserta menyertai larian amal itu dalam pelbagai kategori.
Mas Ermieyati berkata program tersebut akan dijadikan acara tahunan di kawasan Parlimen Masjid Tanah bagi memberi peluang masyarakat beriadah sambil melakukan aktiviti sihat. – BERNAMA