JAKARTA – Ribuan penduduk Indonesia sanggup berbaris panjang bagi menyertai usaha amal beberapa badan bukan kerajaan melakukan gerakan mengumpulkan jutaan duit syiling untuk diberi kepada Perdana Menteri Australia, Tony Abbott.
Tindakan tersebut sebenarnya adalah sekadar sindiran kepada Abbott kerana mengaitkan bantuan kemanusiaan Australia untuk jutaan mangsa bencana tsunami Aceh dengan pemansuhan hukuman mati terhadap dua rakyat Australia di Indonesia.
Awal minggu ini, Abbott berkata negaranya berasa amat kecewa jika Jakarta bertegas melaksanakan hukuman mati itu, walhal Canberra telah memberi bantuan kemanusiaan sekitar A$1 bilion (RM2.8 bilion) susulan bencana tsunami Aceh pada 2004.
Kementerian Luar Indonesia kemudian membidas hebat kenyataan itu sebelum Abbott menafikan peringatan tersebut sebagai mengungkit kembali jasa ihsan Australia bagi membalas budi untuk membatalkan pula hukuman bunuh berkenaan.
Kebetulan pada Jumaat lalu, Peguam Negara Indonesia menerima arahan pihak atasan untuk menangguhkan hukuman ke atas duo pengedar dadah kumpulan Bali Nine, Andrew Chan, 31, dan Myuran Sukumaran, 33, kepada hampir sebulan lagi.
Dua pengedar itu diberkas polis di lapangan terbang antarabangsa Ngurah Rai Denpasar pada 2005 lalu apabila dikesan cuba menyeludup masuk 8.2 kilogram heroin dan dijatuhi hukuman mati setahun kemudian tetapi ia ditangguhkan beberapa kali.
Bagaimanapun, Jakarta menafikan kelewatan tersebut kerana tunduk kepada desakan Canberra selain ancaman Menteri Luarnya, Julie Bishop sebelum itu yang meminta rakyat Australia memboikot sektor pelancongan Indonesia.
Acara kutip duit syiling itu asalnya bermula di Aceh kemudian merebak ke beberapa bandar besar Indonesia, malah kempen tersebut turut popular menerusi laman sosial Twitter dengan hashtag #KoinuntukAustralia, #coinforAustralia dan #coinforAbbott.
Namun, bekas gabenor Aceh, Irwandy Yusuf tidak bersetuju dengan reaksi tindak balas penduduk wilayah itu dan menganggap usaha mengumpul duit syiling tersebut lebih seperti perangai budak kecil merajuk dan mahu dipujuk.
Presiden Joko Widodo ketika mengulas langkah ‘perli’ rakyatnya ke atas Abbott menegaskan, beliau tidak akan tunduk kepada desakan pihak luar dan penangguhan hukuman mati di Pulau Nusakambangan itu lebih bersifat teknikal.
Kempen tidak dirancang itu turut mendapat sokongan ramai ahli parlimen Indonesia yang sanggup menyediakan tabung khas di lobi Dewan Perwakilan Rakyat sebagai tanda bahawa Indonesia adalah sebuah negara bebas berdaulat.
Menurut seorang pemimpin parlimen, Lukman Edy, beliau dan rakan-rakan meletakkan tabung berkenaan sebagai kesedaran bahawa bantuan kemanusiaan tsunami tiada kena-mengena dengan hukuman mati untuk kes jenayah berat.
Dalam pada itu, penyelaras gerakan pro-Indonesia, Andi Sinulingga bersama-sama sukarelawan turut mengutip duit syiling di sekitar Bulatan Hotel Indonesia yang terkenal dengan mercu monumen kebangsaan republik tersebut.
Ramai pemandu kereta sanggup berhenti di tepi jalan untuk menghulurkan derma dan pergerakan itu berharap dapat mengumpul duit syiling bernilai 10,082,825,834,000 rupiah bersamaan dengan A$1 bilion dalam tempoh terdekat.
Duit syiling dikumpulkan secara simbolik ini pula akan diserahkan kepada kerajaan Australia sebagai lambang memulangkan balik wang bantuan negara itu kepada mangsa tsunami Aceh yang dianggap seperti tidak berniat ikhlas. – Agensi