BULAN lalu, nama vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim menjadi sebutan apabila dia ditangkap pihak berkuasa kerana aktiviti penyalahgunaan dadah.
Zamani bagaimanapun mendapat simpati ramai setelah satu video yang dirakamkan seorang anggota polis menunjukkan Zamani menyanyi sambil tangannya bergari menjadi viral.
TERDAHULU: Kemuliaan Hati Zamani – Anggaplah Isu Video Selesai
Terkini, sepi daripada sebarang liputan, rupa-rupanya Zamani dikhabarkan sedang menjalani pemulihan secara terapi di sebuah pusat pemulihan dadah.
Berita tersebut dimaklumkan sendiri pembantunya, Aalan Ahmad, 41, yang turut memberitahu, Zamani dijangka menamatkan sesi pemulihan pada minggu depan.
Ujarnya kepada portal MStar, “Alhamdulillah, dia berada dalam keadaan baik dan kini masih mendapat rawatan pemulihan di sebuah pusat pemulihan.
“Dia mendapatkan rawatan bermula akhir bulan lalu dan dijangka akan selesai pada minggu depan.”
Menurut Aalan lagi, Zamani hanya dibenarkan menerima kunjungan ahli keluarganya sahaja sepanjang tempoh rawatan bagi memberikan sepenuh ketenangan dan melancarkan proses pemulihannya itu.
Sementara itu, karier Zamani dimaklumkan akan kembali rancak apabila penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu bakal mengeluarkan album terbarunya tidak lama lagi.
Diberi judul ‘Sinar Menunggu’, album tersebut bakal memuatkan dua single terbaru ciptaan komposer Eddie Hamid dan Johari Teh, manakala selebihnya diisi oleh lagu-lagu yang pernah mengangkat namanya dahulu.
Kata Aalan, “Album sudah hampir siap dan ada beberapa proses akhir sahaja. Insya-Allah perancangannya pada Mac depan untuk majlis pelancaran.
“Kita tunggu keadaan Zamani dahulu sehingga dia benar-benar sedia bertemu peminatnya.
“Album tersebut memuatkan dua lagu baharu ciptaan Eddie Hamid dan Johari Teh. Manakala selebihnya lagu-lagu popular Zamani yang dirakamkan semula.”
Teruja bukan? Buat peminat Zamani, nantikan kemunculan buah tangan terbaru darinya selepas proses pemulihan dadah.
– MYNEWSHUB.CC
Temubual Zamani Bersama Melodi