Siapa kata masyarakat Malaysia sudah luntur dengan nilai saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira batas kaum dan agama?
Mungkin segelintir individu tidak bertanggungjawab suka menimbulkan onar dalam mencetuskan api perkauman, namun secara majoritinya, rakyat di Malaysia memang masih mengamalkan budaya toleransi selaras dengan konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebagai contoh, satu status oleh seorang individu di laman sosial Facebook mula menerima perhatian dan dikongsi ramai netizen apabila ia menceritakan tentang situasi yang harmonis antara jiran berlainan kaum.
Menerusi salah satu entri terbarunya, Kin Tai memuat naik satu foto dirinya bersama jirannya, Mak Ngah. Tulisnya di ruangan kapsyen, wanita tersebut memang begitu dekat di hati mereka sekeluarga.
“Jiran saya, Mak Ngah memutuskan untuk membuat kek brownies sempena Tahun Baru Cina. Mak Ngah sememangnya memiliki satu hubungan istimewa dengan kami sekeluarga.
“Ketika masih kecil, kami sangat menggemari masakan nasi lemaknya sehinggakan ibu memintanya memasak untuk kami sebagai bekal ke sekolah.
“Dia bersetuju dan setiap pagi selepas solat Subuh, dia akan memasak, membungkusnya kemudian menggantung di pagar rumah kami agar mudah kami ambil dan bawa ke sekolah.”
Tambah Kin Tai lagi, kehidupan berjiran dengan keluarga Mak Ngah sejak kecil banyak memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan, antaranya, rumah jirannya itu merupakan rumah Melayu Islam pertama yang dikunjunginya.
“Sehingga kini, kami masih lagi mengekalkan hubungan mesra sebagai jiran dan Mak Ngah masih tidak lokek memberikan kami masakannya yang enak seperti kek dan kuih muih.”
Foto tersebut menerima ribuan ‘like’ dan dikongsi lebih seribu pengguna laman sosial yang kagum dengan semangat kejiranan yang diamalkan kedua-dua keluarga tersebut.
Ya, Malaysia pastinya akan lebih indah jikalau semua pihak bertindak menghormati sesama manusia dan mengetepikan perbezaan kaum, seperti kisah Kin Tai dan jirannya, Mak Ngah. – MYNEWSHUB.CC
Iklan Yang Mengisahkan Perpaduan Masyarakat Berbilang Kaum Oleh Petronas