BAGHDAD – Selama ini hasil propaganda media antarabangsa, militan pelampau Islamic States (IS) sering dimomok sebagai amat anti-Barat walaupun puluhan ribu anggota kumpulan ekstremis itu adalah warga Barat sendiri.
Namun, sesuai dengan citarasa dan selera lidah ramai anggota IS khasnya dari Eropah, mereka kini lebih bersifat terbuka dan tidak menunjukkan kebencian ‘brutal’ terhadap makanan segera Barat khasnya burger, lapor media tempatan.
Di bandar raya Mosul, utara Iraq yang diisytiharkan sebagai ibu negara sistem pemerintahan Khalifah IS, penduduk setempat malah masih dapat lagi menikmati hidangan burger dan kentang goreng panas ala Amerika Syarikat (AS).
Restoran Big Burger; yang terdapat di bandar padat berpenduduk 1.8 juta orang dan terletak kira-kira 400 kilometer dari ibu kota Iraq, Baghdad itu; beroperasi seperti biasa di kawasan Elarabi Quarter dan sebelah utara sungai Tigris.
Pelanggan premis itu selain mampu membeli beraneka burger daging dan kentang French fries, mereka turut menikmati sandwich ayam, burger keju serta minuman ringan karbonat popular AS termasuk jenama Sprite dan Coca Cola.
Kewujudan Big Burger memang disenangi anggota IS selain cukup terkenal dalam kalangan penduduk Mosul apabila akaun rasmi laman sosial Facebook restoran itu sudah mendapat 3,000 like dan penarafan 4.2 daripada skala tertinggi 5.
Fakta bahawa IS masih lagi boleh berkompromi dengan membiarkan sahaja restoran makanan Barat itu tetap beroperasi di Mosul cukup mengejutkan banyak pihak termasuk pihak perisikan Iraq dan ejen pengintip antarabangsa.
Padahal pada kebiasaannya, militan IS pernah beberapa kali dilaporkan menjatuhkan hukuman berat bagi orang yang ditahan kerana dianggap menjalani budaya gaya hidup AS atau yang bersekongkol dengan fahaman liberal Barat.
Misalnya pada awal tahun ini, IS berjaya menembak mati 13 remaja yang leka menonton siaran langsung perlawanan bola sepak Piala Asia antara Iraq melawan Jordan kononnya menganggap perbuatan itu melanggar hukum agama.
Awal minggu ini, media antarabangsa turut melaporkan anggota IS bersorak gembira meletupkan sebuah perpustakaan awam di Mosul yang mengakibatkan 10,000 naskhah buku dan 700 manuskrip nadir hangus musnah dijilat api kebakaran.
Bahkan, bulan lalu, militan IS dilaporkan membakar banyak peralatan muzik termasuk set dram, keyboard dan gitar selain menghukum sebat pemuzik tempatan kerana menyifatkan seni hiburan itu kononnya sebagai haram di sisi ajaran Islam.
Namun, dengan laporan terbaharu mengenai Big Burger, ia dijangka memberi imej positif kepada IS, sekali gus membuktikan kempen boikot restoran Barat pro-Israel langsung tidak memberi kesan kepada perjuangan suci mereka. – Agensi