PENGARAH Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh, Mamat Khalid kecewa apabila dua teraju utama filem tersebut, Zizan Razak dan Emma Maembong tidak hadir pada sesi tayangan yang berlangsung di Cathay e-Curve, Damansara, semalam.
BACA: Tak Habis Lagi ‘Drama’? Emma Merajuk Lagi Dengan Zizan
Mamat Khalid turut mendedahkan, pihak produksi sudah pun menganjak tarikh tayangan kepada semalam, semata-mata mahu mengikut jadual dua pelakon itu.
Bagaimanapun, tindakan tersebut nyata sia-sia apabila kelibat pasangan selebriti ini langsung tidak kelihatan.
“Kalau diikutkan rasa kecewa, memang ada. Bagaimanapun saya cuma tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
“Apatah lagi, mereka bukannya tidak tahu mengenai acara tayangan perdana bersama media pada malam ini,” kata Mamat Khalid.
Menurut pengarah tersohor itu, ketidakhadiran dua bintang berkenaan hanya dimaklumkan pihak produksi pada hari acara tayangan.
“Kalau mereka berdua ada masalah peribadi dan enggan bersemuka pada tayangan malam ini, beritahu saja saya tidak kisah. Atau mungkin mereka malu dengan hasil filem ini pun, maklumkan juga kerana saya terima apa jua alasan.
“Tapi mereka senyap begitu saja, di mana sikap profesional mereka? Mungkin sebagai pengarah, saya tidak penting dan tidak berada langsung dalam kamus hidup mereka,” katanya kecewa.
Mamat yang menyifatkan ketidakhadiran Zizan dan Emma ibarat sebuah majlis perkahwinan tanpa pengantin namun perlu berlangsung jua kerana tetamu sudah diundang, jelas mempamerkan kesedihan terhadap sikap mereka berdua.
Filem yang turut dibintang Saiful Apek dan Usop Wilcha ini bakal menemui penonton 5 Mac ini. – MYNEWSHUB.CC
Video – Di Sebalik Tabir Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh