IPOH – Sultan Perak Sultan Dr Nazrin Shah hari ini berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang di Istana Kinta di sini.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Hadir sama isteri Abu Zahar iaitu Puan Sri Sharifah Rogayah Syed Jaffar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Seri S.K.Devamany serta Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia Datuk Lamien Sawiyo dan isteri.
Baginda meluang masa kira-kira setengah jam pada pertemuan itu.
Terdahulu, Abu Zahar melakukan kunjungan hormat ke atas Devamany di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Abu Zahar memaklumkan bahawa kunjungan hormat tersebut bertujuan merapatkan silaturrahim antara Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, membincangkan isu-isu berkaitan dan penambahanbaikan yang boleh dilakukan. – BERNAMA