GEMAS – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Jurutera Diraja, hari ini berkenan melawat 4 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (Jambatan) di Kem Syed Sirajuddin di sini.
Ketibaan baginda disambut oleh Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim, Ketua Jurutera Tentera Darat Mej Jen Datuk Pahlawan Ir. Abdul Nasser Ahmad, Panglima 3 Divisyen Mej Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan dan Panglima 1 Briged Brig Jen Datuk Adnan Abu Bakar.
Sejurus tiba, baginda menyempurnakan pemeriksaan kawalan kuarter dan disusuli santapan ringan dan kemudiannya mendengar taklimat disampaikan Pegawai Pemerintahan pasukan Mej Abdullah Yusuh.
Baginda kemudian dibawa melihat lebih dekat kaedah pemasangan dua jenis jambatan taktikal iaitu ‘Tactical Floating Bridge’ (Pontun) bagi laluan merentasi air dan ‘Tactical Single Span Bridge” (Lekap) bagi laluan merentasi jurang di kolam latihan di kem itu.
Kedua-dua jambatan taktikal itu kerap digunakan dalam misi membantu mangsa bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.
Baginda kemudian melawat pameran statik di garaj jambatan taktikal yang terletak berhampiran kolam latihan itu.
Sultan Nazrin Shah mengakhiri lawatan itu dengan menghadiri majlis santapan tengah hari bersama-sama pegawai dan anggota pasukan 4 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (Jambatan). – BERNAMA