KETIKA kesedihan menyelubungi langit Jumaat atas pemergian seorang tokoh ulama dan politik terkemuka Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ada segelintir individu dilihat tidak mempunyai sifat peka dan sensitif.
Walaupun berbeza pandangan dan ideologi politik, ramai pemimpin, baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang berkongsi ucapan takziah dan menzahirkan ketokohan Nik Aziz dalam mengemudi PAS dan Kelantan selama dua dekad.
Sayangnya Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang walaupun turut mengucapkan takziah kepada isteri dan keluarga Allahyarham, sempat meluahkan ‘kritikan’ terhadap insan yang baru sahaja pergi itu.
Melalui laman sosial Facebook Ibrahim Ali berkata, pemergian Nik Aziz bukanlah sesuatu yang mengejutkan andai mengambil kira faktor umur dan tahap kesihatan pemimpin tersebut sejak kebelakangan ini.
Namun, semakin sinikal dalam ayat-ayatnya apabila Ibrahim menulis, “Rakyat Kelantan ramai menyanjungnya kerana beliau dikatakan ulamak dan digelar tok guru, walaupun beliau tidak banyak membangun kemajuan rakyat dan negeri Kelantan.
“Malah kemajuan Islam di Kelantan tidak ke mana dan hukum hudud gagal dilaksanakan semasa hayatnya walaupun menjadi MB Kelantan lebih 20 tahun.”
Meneruskan komentar ‘pedasnya’ terhadap Nik Abdul Aziz, Ibrahim memetik kenyataan ulama kontemporari Ibn Taimiyyah tentang pemilihan pemimpin.
“Seorang ulamak kontemporari Ibn Taimiyyah menegaskan hal memilih kepimpinan antara yg warak dan yang berwawasan, maka kata Ibn Tamiyyah, bila bertemu antara pemimpin tersebut, hendaklah kamu memilih yang berwawasan walaupun kurang warak.”
Ibrahim juga berkata, negeri pantai Timur, Kelantan mampu menjadi negeri tersohor dalam semua bidang kerana rakyatnya teguh berpegang dengan ajaran Islam, kreatif, keindahan alam semulajadi dan sumber kekayaan yang pelbagai, keunikan budaya dan variasi makanannya.
“Kelantan patut menjadi negeri Islam contoh yang terbilang. Tapi ratusan ribu rakyat Kelantan berhijrah mencari nafkah di negeri lain.
“Semoga rakyat Kelantan memilih pemimpin bukan berdasarkan kulit buku yang cantik, tapi isi buku. Birlah satu sejarah telah berlalu dan rakyat Kelantan tidak lagi memuja pemimpin retorik, alim tetapi yang berwawasan serta akhlak yang mulia…,” ulasnya selamba.
Ulasan ‘tak kena tempat’ itu kemudiannya dihujani kritikan tajam netizen yang tidak berpuas hati dengan ujaran dizahirkan Ibrahim.
Walaupun berbeza paksi politik seharusnya, Ibrahim lebih sensitif dengan isu seperti ini.
Kalaupun ingin bersenandung retorik politik dan menghentam mana-mana seteru, amatlah tidak molek apabila dia memilih waktu tatkala insan yang baru sahaja ‘pergi’ menghadap Ilahi sebagai sasarannya.
Lagi menyedihkan, Ibrahim kelihatan tidak menghormati individu Islam yang meninggal dunia, jauh tersimpang dari pemimpin politik bukan Islam lain yang turut sama berkongsi takziah terhadap Allahyarham Nik Abdul Aziz, seperti Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri G. Palanivel.
Alahai, memalukan betul! – MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
Kritikan Ibrahim Ali Terhadap Khairy Jamaluddin – KJ Budak Cerdik Tapi Tak Bijak