JAKARTA – Pihak berkuasa sebuah daerah di Indonesia akhirnya menarik balik rancangan aneh untuk mewajibkan semua pelajar perempuan mesti menjalani ujian pengesahan dara sebelum dibenarkan menamatkan zaman persekolahan tinggi mereka.
Keputusan drastik itu menjadikan Jember di wilayah Jawa Timur sebagai pihak berkuasa ketiga di Indonesia selepas pemerintah wilayah Sumatera Utara pada 2013 dan Jawa Barat pada 2007 yang juga terpaksa membatalkan cadangan kontroversi tersebut.
Pembatalan itu ekoran bantahan keras masyarakat dan badan-badan hak asasi manusia tempatan yang bimbang tindakan tersebut akan menyebabkan ramai remaja perempuan gagal menghabiskan persekolahan kerana sudah tiada lagi memiliki kesucian dara.
Seorang wakil rakyat daerah Jember, Habib Isa Mahdi minggu lalu mendedahkan majlis tempatan sedang menyiapkan draf peraturan akhlak baik termasuk ujian dara susulan banyak laporan pelajar sekolah sudah berani melakukan seks sebelum berkahwin.
Ramai wakil rakyat daerah urban ketiga terbesar di wilayah Jawa Timur itu dengan penduduk 2.3 juta orang menyokong cadangan tersebut bagi mengekang gejala seks bebas dalam kalangan remaja sekolah dan membendung kes kelahiran bayi luar nikah.
“Jika bukan lagi dara, jangan luluskan mereka tamat persekolahan. Memang pelajar lelaki tiada ujian teruna tetapi, ia mencegah mereka bersetubuh kerana pelajar perempuan amat takut gagal menghabiskan persekolahan,†kata seorang wakil rakyat, Mufti Ali.
Bagaimanapun, rancangan murni itu terpaksa ditarik balik dan timbalan speaker dewan perwakilan Jember, Ayub Junaidi mengesahkan, pihaknya tidak berhasrat meneruskan usaha tersebut serta memohon maaf kepada wanita yang tersinggung dengan perkara itu.
BACA : Aktivis Mahu Indonesia Mansuhkan Ujian Dara Pemohon Polis Wanita
Masyarakat konservatif Indonesia cukup memelihara kesucian dara remaja perempuan, namun kajian pelbagai pihak mendapati, golongan muda di republik itu sudah pun mula biasa berzina seawal usia 19 tahun bagi lelaki malah 16 tahun bagi perempuan.
Jurucakap badan pemantau Human Rights Watch, Andreas Harsono menyambut baik pembatalan draf peraturan itu, tetapi mendakwa ujian dara masih lagi dilakukan untuk pemilihan ketat rekrut baharu pasukan polis dan tentera wanita di Indonesia.
Ironi, jurucakap pasukan keselamatan republik itu menjelaskan, ujian wajib tersebut sekadar pemeriksaan kesihatan secara rutin, bahkan tiada syarat calon wanita mesti masih dara sebelum layak dipilih menjadi anggota polis dan tentera. – Agensi