SEORANG ahli perniagaan Datuk Tong Kooi Ong hari ini menafikan beliau terlibat dengan perbuatan taruhan nilai ringgit sekaligus memanipulasi mata wang untuk keuntungannya.
Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau mengatakan dakwaan beberapa laman blog yang menuduhnya mahu menjatuhkan nilai mata wang Malaysia itu tidak berasas.
“Saya sedang mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab menulis di blog tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.
BACA JUGA – Penyusutan Nilai Ringgit Tidak Jejas Ekonomi Malaysia
“Jika benar saya terlibat dalam aktiviti spekulasi mata wang, Bank Negara Malaysia pasti menyedarinya dan sudah tentu menghubungi saya,” katanya.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO, beliau berkata kerajaan akan bertindak terhadap manipulator ringgit jika ada bukti.
Sebelum ini, ada laman blog yang menggunakan sumber didakwa dari Bank Negara Malaysia mendakwa Tong membuat short position ke atas ringgit berjumlah AS$1.4 bilion melalui proksi sejak Ogos tahun lepas hingga Januari tahun ini.
“Saya tidak pernah sekali-kali melakukan ‘short position‘ ke atas ringgit,” katanya dalam kenyataan itu.
Short position atau kedudukan singkat bermaksud transaksi yang dilakukan pelabur apabila menjangkakan nilai ringgit akan jatuh.
Melalui ‘short position‘, pedagang dan pelabur mata wang akan memperdagangkan ringgit kepada US dollar ketika nilai ringgit dijangka jatuh.
Mereka kemudiannya akan membeli balik ringgit pada nilai yang rendah ketika ia makin menyusut dan mengaut keuntungan yang tinggi.
Ujarnya lagi, kerjanya sebagai usahawan dan penganalisis ekuiti memberi banyak kelebihan dalam bidang pelaburan nilai.
“Saya memperoleh dan membina syarikat, mewujudkan nilai bagi pemegang saham dan mewujudkan pekerjaan melalui idea dan inovasi. Rekod saya boleh buktikan semua ini.
“Saya yakin Bank Negara akan sedar jika terjadi jenayah kejam seperti didakwa. Bank Negara tidak menghubungi saya dan saya jamin akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan Bank Negara sekiranya bantuan saya diperlukan pada bila-bila masa,” katanya.
Dalam pada itu jelasnya, dia masih belum memastikan individu atau mana-mana pihak yang cuba menjatuhkannya dengan tuduhan tidak berasas berkenaan.
Kooi Ong turut mengakui mustahil untuk “memecahkan Bank Negara” atau “menghancurkan ringgit” kerana rizab pertukaran asing negara berjumlah lebih AS$110 bilion, sementara akaun semasa negara ini berada dalam lebihan.
“Pinjaman bukan ringgit sangat rendah. Saya pernah menyatakan hal ini dalam ucapan dan artikel saya.
“Hampir setiap mata wang di dunia jatuh berbanding dolar AS dan sebahagian sebabnya ialah pengukuhan ekonomi AS dan jangkaan kenaikan kadar faedah.
“Di samping itu, banyak negara di rantau ini dan juga Eropah mengalami susut nilai bagi mata wang mereka dan menurunkan kadar faedah bagi menggalakkan pertumbuhan,” katanya.
Ringgit jatuh ke tahap paling rendah sejak krisis kewangan 2008 di tengah-tengah suasana hutang negara yang tinggi dan harga minyak dunia yang rendah. – MYNEWSHUB.CC
Video Tong Di Forum Ekonomi Akhbar The Edge