Menyahut seruan kerajaan untuk menurunkan harga barangan setelah nilai bahan bakar di pasaran dikurangkan, Mydin mengambil inisiatif dengan membuat potongan harga sebanyak 30 peratus terhadap 50 barangan terpilih.
Menurut Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), bermula hari ini (Jumaat), promosi tersebut dijalankan di kesemua 18 buah pasar raya miliknya, 16 emporium dan tiga bazar di seluruh negara.
“Kami menawarkan diskaun untuk memastikan rakyat tidak terbeban terutamanya mereka yang berpendapatan rendah,” ujar Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.
Selain itu, Mydin turut menggesa pasar raya lain agar mengambil tindakan atas saranan kerajaan supaya beban yang ditanggung rakyat berkurangan.
“Mydin berazam untuk membantu mewujudkan persekitaran sosio-ekonomi yang harmoni di negara ini. Saya terkilan bahawa terdapat sekumpulan kecil pembekal dan pengeluar yang masih tidak menurunkan harga barang.
“Saya juga mahu pasar besar yang lain untuk bersama-sama mempromosikan saranan yang mulia ini,” ujar Ameer lagi.
Antara barangan yang ditawarkan pada harga promosi adalah ikan bawal, ikan selar kuning, cili merah, Milo (400 gram), kopi cap Hang Tuah, rempah Adabi (250 gram) dan lampin pakai buang jenama Huggies Drypers. – MYNEWSHUB.CC
Turun Harga Barang Seiring Penurunan Harga Minyak – Datuk Seri Najib Tun Razak