KAMPAR – Seorang warga emas tidak menyangka aktiviti riadah dilakukan bersama isterinya pagi semalam menjadi detik terakhir mereka bersama selepas pasangannya itu lemas selepas terjatuh ke dalam tasik di kawasan Westlake, Taman Bandar Baru, Kampar.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, ketika kejadian pada kira-kira jam 6.10 pagi itu, Cheng Chew Cheong, 80 dan isterinya Lai Choy Wan, 75, sedang berjalan kaki di kawasan tasik berkenaan.
Menurutnya, bagaimanapun selepas beberapa minit mangsa berhenti berehat kerana keletihan dan menyuruh suaminya bersenam sendirian.
“Apabila kembali semula ke tempat isterinya berehat, Chew Cheong mendapati wanita itu tiada di situ dan menyangka mangsa pulang ke rumah.
“Dia bagaimanapun hampa apabila mendapati isterinya tiada di rumah dan kembali ke tasik berkenaan,” katanya semalam.
Koong Soon berkata, ketika tiba di tasik, Chew Cheong terkejut melihat anggota polis dan bomba sedang mengeluarkan mayat isterinya dari tasik.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat manakala siasatan masih diteruskan. – Sinar Harian Online